Monday, January 26, 2015

Selepas 2 Millenium

1. Tahun ke 15 selepas millenium. Sesetengah pendapat mengatakan 15 tahun adalah tempoh wajib baligh bagi mukallaf, walaupun seseorang itu tidak mengalami mimpi naik gajah, atau datang haid. Walaupun ramai diantara kita yang cukup umur lebih awal daripada itu disebabkan oleh kedatangan mimpi atau kedatangan darah, tapi ditegaskan sekali lagi bahawa 15 tahun adalah usia wajib baligh dan dikira mukallaf. Mukallaf bermakna, tanggungjawab dosa dan pahala adalah ditanggung oleh individu mukallaf itu sendiri di atas setiap tindak gerak pelakunya.

2. Tahun millenium dahulu, aku sudah dikira dewasa apabila umur telah mencapai 21 tahun. Sekarang, aku baligh dalam dewasa setelah memasuki 15 tahun kedewasaan. Tapi nampaknya semua masih agak sama, evolusinya sangat perlahan! Masih lagi perubahan ke arah kebaikan kabur dan tidak jelas. Masih lagi ragu-ragu dan was-was dalam tindak perkara. Ynag paling mengecewakan pengetahuan dirasakan sangat kurang dibandingkan dengan usia, malah dirasakan semakin lanjut usia semakin jahil dari semua perkara. Menuntut ilmu, bermula dari awal kembali, Sifat Dua Puloh yang dipelajari seawal usia 6 tahun, dihafal dan menjadi handalan dikalangan kanak-kanak seusia dan yang lebih tua, seakan tidak membawa makna bahkan malah tidak mengerti langsung lewat meniti usia yang berpuluh-puluh ini. Aku pening dalam pening, sesat dalam sesat, tak tahu di mana.

3.Seorang penyair berkata:
         orang yang bingung dalam menyingkap masalah
         hanya akan menyia-nyiakan umurnya
         selalu bingung, tidak pernah mencapai keberjayaannya
         dan sentiasa nampak bodoh

4. Hai usia! janganlah cepat meninggalkan roh dan jasad Shabri terkejar-kejar. Hai roh! janganlah kau kecundang dengan nafsu dan godaan syaitan. Hai akal dan nurani! janganlah kau hanyut dibawa arus kesesatan yang tidak tahu bahawa kau telah tersesat!. Semoga diusia baligh ini, dikurniakan kekuatan dalam menuju kematian. Amin.

5. "Dunia adalah penjara orang mukmin dan syurga bagi orang kafir" 


Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepada mu dari Tuhanmu, sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyedarinya - Az Zumar 39:55