Showing posts with label Hobi kot. Hobi tu apa ah?. Show all posts
Showing posts with label Hobi kot. Hobi tu apa ah?. Show all posts

Wednesday, May 25, 2011

Guru Mendidik itu Melawan!

Ahmad KS
SK Dalam Gelung
12345 Putrajaya, Terengganu
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Ruj: pt/180/987(bil) 1
Tarikh: 24 Mei 2011
Guru Besar
SK Dalam Gelung
12345 Putrajaya, Terengganu
24 Mei 2011

Tuan,

KELAS BANTU LULUS
-------------------------

Perkara di atas adalah dirujuk;

2. Saya, serta sekalian guru yang ternyata malu-malu untuk memperkatakan secara terbuka dengan ini mengisytiharkan bahawa kami sangat menyokong program di atas yang dilakukan tiap-tiap hujung minggu Jumaat dan Sabtu sebagai satu program sokongan kepada kelas petang dan malam yang telah sedia ada. Wow! Sangat hebat dan sungguh bertuah kami.

3. Program ini memang sangat perlu dan patut diadakan demi meranapkan ops, memartabatkan lagi anak bangsa.. kerana mereka semua sememangnya patut ditekan-tekankan supaya memperoleh kejayaan yang cemerlang di dunia juga akhirat. Ini kerana semua benda lain tak perlu dipelajari terutamanya mencari ikan sekilau di dalam baruh atau bersama kawan mencari buah getah untuk dimain pukul-pukul. Semua pengalaman tersebut boleh dibeli di kedai-kedai runcit berdekatan, jadi tidak perlulah mereka sedikit kelonggaran masa untuk belajar sendiri seperti yang ditekankan dalam pembelajaran konstruktivisme. Apa yang mereka perlukan ialah kelas hujung minggu ini.. itu pokok kejayaan sebenar

4. Program ini juga ternyata sangat hebat kerana ia merentasi dan melampaui pekeliling yang menyatakan guru hanya boleh di panggil pada dua kali sabtu setiap bulan jika ada sebarang keperluan yang mendesak.

5. Disamping itu, kami guru-guru memang sangat berbesar hati dengan kewujudan program ini kerana dengan sendirinya masa kami bersama keluarga sangat terhad. Ini adalah plan yang baik untuk menjarakkan anak dan untuk lari dari tanggungjawab sebagai suami atau lebih-lebih lagi isteri serta sebagai anak/bapak/ibu. Semua itu ternyata tidak penting untuk pemupukan generasi yang mapan pada masa depan. Yang lebih penting ialah kejayaan program ini diharap dapat meningkatkan prestasi sekolah.

6. Selain daripada itu, jika kita berbalik kepada murid, program ini memang amat menguntungkan mereka kerana setelah diamat-amati program pembelajaran berterusan begini adalah untuk pengasahan minda dan mengelakkan stress... dan perlulah diingat, kanak-kanak tidak ada hak untuk bersosial dan mendapat kasih sayang yang utuh dari keluarga di rumah kerana memang kanak-kanak zaman moden ini ditakdirkan untuk belajar sahaja... sebab mereka ternyata tiada perasaan


sekian terima kasih

"CUKUP PUAS HATI, LEBIH DARIPADA TU"


Yang sohih,

Ahmad Ks

Thursday, March 10, 2011

tah ting tah ting sepak keting reboh bleping

Entah kenapa, aku sering sahaja resah, gelisah dan menjadi begitu tidak keruan bila ada usul duit yang mesti dikenakan ke atas murid atau pelajar sebagai bayaran atau yuran tertentu. Tidaklah aku menjadi seorang yang pembantah jika duit atau bayaran yang dikenakan ke atas murid atau pelajar tersebut jika ia sememangnya tidak membebankan.. aku boleh terima, dan bahkan rasa agak bersyukur sebab dengan sendirinya sesuatu aktiviti yang dirancang akan mudah dapat dijalankan dengan lancar.

Dulu, di sekolah lama (sekolah yang aku tinggalkan berakhir 2010), aku pernah membantah dengan keras, bayaran sebanyak RM 20 yang dikenakan kepada setiap seorang murid yang ingin menyertai perkhemahan tahunan. Dengan alasan duit itu akan digunakan bagi membiayai kos pengangkutan [ya, aku akui kos pengangkutan agak mahal kerana pihak sekolah terpaksa menyewa bas bagi mengangkut para pelajar ke tapak perkhemahan yang jauh], dan makan minum murid. Jumlah murid yang menyertai perkhemahan tersebut menjangkau 80 orang dan jika didarab 20 sudah mencapai RM 1060. Sedang peruntukan sedia ada adalah RM 2000 dan jika ditambah jumlahnya adalah RM 3060. Kos menyewa tapak perkhemahan adalah RM 2 perkepala setiap seorang. Tetapi, setelah budi bicara aku dan 2 orang lagi guru termasuk Penolong Kanan Ko dengan pemilik tapak perkhemahan kami hanya membayar untuk 50 orang sahaja, di kali dengan 2 hari. Bermakna sewa tapak yang perlu dibayar adalah RM 100 sahaja, walaupun sebenarnya perkhemahan tersebut memakan masa 3 hari 2 malam. Dan kami menyewa dua buah asrama yang besar bagi keperluan guru lelaki dan perempuan untuk mandi-manda, bertukar pakaian dan sekaligus menjadikannya tempat tidur dan istirehat dengan hanya membayar RM 60. Jumlah tempat penginapan adalah RM 160, murahkan? Setelah diselidiki, kos pengangkutan hanya menelan belanja lebih kurang RM 500 menurut seorang rakan yang ditugaskan untuk urusan bas ini. Bayangkan ada lebih daripada RM 2000 lagi…dan menurut perkiraan mereka semuanya di belanjakan untuk makan minum dan peralatan memasak.

Belanja makan perkhemahan macam belanja buat kenduri kawin je aku rasa.. Wah, betul-betul sakan! Ini perkhemahan ke apa ni? Walaupun aku memang cukup tidak berpuashati dengan mutu murid yang memang tak boleh memasak, hatta untuk memasak cokodok tawar, tapi aku cukup tak berpuashati dengan lauk pauk ala hotel yang dimasak oleh guru-guru! Bukan kerana tak sedap, tapi kerana berbelanja! Sedang, bagi aku ianya boleh sangat dijimatkan dan jika di uruskan dengan betul, murid tidak perlu membayar sampai RM20. Walhasilnya, bila aku fikir-fikir, makan-makan dan minum-minum itu sebenarnya tidak lain daripada bagi memenuhi selera gurulah adanya.

Ini bukanlah cerita rekaan, tetapi inilah yang terjadi dan aku adalah antara Ahli Jawatan Kuasa Induk yang menguruskan perkhemahan tersebut dan sama-sama bermesyuarat dan merancang awal sebelum mesyuarat menyeluruh diadakan. Tapi apalah daya hanya aku seorang yang tidak bersetuju dengan bayaran tersebut dengan alasan ianya memadai.. Aku pernah mengatakan kepada sekalian guru semasa mesyuarat awal bahawa mereka tidak boleh menyamakan taraf sosio ekonomi mereka dengan taraf ekonomi bapak-bapak murid. Kalau seorang guru, RM 20 lebih daripada memadai, tetapi apalah daya bagi seorang pekerja kampong yang memanjat kelapa, mengambil upah menjaga kebun, atau yang mencari sumber hutan untuk membiayai 3 orang anak yang akan mengikuti perkhemahan yang berada dalam darjah 4, 5 dan 6. Mereka terpaksa membayar RM 60! Kalau pandai berjimat RM 60 boleh dibuat belanja makan seminggu untuk ahli keluarga mereka yang 7- 10 orang itu. Tapi debatan aku itu tidak juga di terima dan mereka beralasan lagi bahawa sekolah-sekolah lain juga mengenakan bayaran yang lebih kurang sedemikian..malah ada yang lebih mahal! Walaupun aku juga mempersoalkan persekitaran sekolah, lain kampong, lain taraf ekonominya.. Aku bercakap semua ini sebab aku bertanggungjawab mengisi e-kasih (data sosio ekonomi keluarga) dan aku pernah menghantar beberapa orang muridku ke rumah masing-masing yang kebanyakkannya terlibat dengan sukan yang aku bawa ke sana kemari. Dan rata-rata antara mereka yang aku temui, bukanlah berada orangnya dan ada juga yang hidup mereka cuma-Cuma. Tapi adalah pulak seorang penduduk kampong pesara tentera [yang masih muda dalam lingkungan pertengahan 40an] yang beristerikan seorang ‘nurse’ hospital kerajaan yang menengking-nengking memaki orang kampong yang kononnya lebih sayangkan duit dari kegembiraan anak bila ada orang kampong mengeluh untuk mengembirakan anak mereka dengan membayar dan menyertai perkhemahan..Ceh!

Sekarang aku lagi bingung, usul duit kembali timbul di dalam program aku sendiri. Sebelumnya, apabila orang atas (tebaklah siapa yang tertinggi dalam sebuah sekolah) mengusulkan untuk mengutip sumbangan dari wang elaun murid, aku dan penyelaras program sudah mula betah-membetah sesame kami..sesama sendiri. Dan aku orang yang mula-mula tidak mahu bertanggung jawab dan ikut campur..dan setelah itu penyelarasku pula. Tetapi baru-baru ini terjadi juga! Dalam mesyuarat bersama Kelab Sokongan, orang atas mengusulkan… dan diterima pula oleh Pengerusi kelab.. Aku memandang ke beberapa wajah yang sudah aku kenal pasti..dan ada wajah kelat diantara mereka tapi terpaksa dianggukkan setuju. Aku pasti benar sebab ada antara ibu bapa tersebut yang turut memindahkan anak mereka yang sewaktu dulu bersamaku di sekolah lama ikut bersama perpindahan ku ke sekolah baru. Dan aku telah mengenal pasti muka-muka baru yang mengalami nasib sedemikian yang berasal dari sekolah ini pula. Tapi mereka semua setuju. Untuk membayar RM 150 setahun.

Bukan kami (baca: aku dan penyelaras program) tidak pernah mengutip sumbangan murid, tapi bila ada sesuatu program yang kami rancang, barulah kami pinta dalam skala yang sangat kecil ditambah dengan duit poket kami sendiri..sudah tentunya minyak kereta kami yang sering tak terbayar!... dan pintaan berkali-kali murid sendiri “ Cikgu, belanjalah cikgu, belanjalah!” kahkahkahkah. Antara kami berdua, penyelaraslah yang paling banyak mengeluarkan sendiri duit poketnya.. untuk pembangunan kelas dan program kami juga, banyak sekali dia menyumbang wang, sedang aku lebih banyak menyumbang kerja-kerja buruh. Dan sekarang, aku jadi pusing dengan tindakan ini walhal sebenarnya, kalau difikirkan ia adalah kelebihan untuk kami lagi melakukan aktiviti yang pelbagai.. Dan selepas cuti seminggu ini kami (baca: kami dan murid2 program) akan ke terapi boling dan terapi air, dan selepas itu ke hutan dan ke sana dan ke sinun, semuanya tanpa RM 150 yang kami telah rancang awal-awal lagi.. dan kebanyakannya lebih dari mulut dari yang benar-benar terjadi. Tetapi yang sudah terjadi betul, tidaklah kepalang juga banyaknya…

Sebelum aku tutup dengan tulisan meleret-leret aku ni yang aku sendiri naik jelak, ada dua buah buku yang aku ingin kongsi, yang pertama ini seperti di atas; Harimau! Harimau! yang aku bawa balik dari Indonesia, setelah letih aku mengeyitkan mata dan mengucapkan I love u kepada nona manis empunya (atau mungkin anaknya empunya) took buku tersebut supaya menjualnya. Buku ini seperti yang sedari nampak dipandangan mata; ditulis oleh Muchtar Lubis. Sesiapa yang meminati sastera, pasti merasa tidak asing dengan penulis tanah seberang ini. Aku pun agak heran, kenapa orang-orang yang pernah dipenjarakan selalu sahaja dekat dengan hati aku. Katanya buku ini pernah mendapat Hadiah Yayasan Buku Utama sebagai buku penulisan terbaik di tahun 1975, di Indonesia. Buku ini mengisahkan 7 orang pengumpul dammar yang diburu oleh seekor harimau tua yang kelaparan. Berhari-hari mereka mencuba untuk menyelamatkan diri mereka dari menjadi mangsa buruan dan cepat-cepat keluar dari hutan raya tempat mereka mencari damar. Seorang demi seorang akhirnya terkorban menjadi mangsa harimau tersebut.

Di satu sudut yang lain pula, terjadi petualangan dalam diri masing-masing. Di bawah ancaman di baham harimau yang tak sudah-sudah memburu mereka, mereka bergulat dengan diri mereka sendiri, yang mengangkat kesedaran mereka tentang kekuatan dan kelemahan diri masing-masing dan setiap ahli pendamar yang lain. Terjadi konflik baca membaca fikiran satu sama lain, bacaan gerak dan sebagainya. Sampai separuh rakan-rakan pendamar mati, ada antara mereka merumuskan untuk memburu dari diburu sedang mereka sebenarnya tidak pula perasan bahawa dikala dia memburu harimau ia telah di buru balas oleh raja rimba tersebut… sampai pada satu tingkat kesedaran akhirnya, mereka memutuskan untuk membunuh harimau yang ada pada diri mereka sendiri dahulu sebelum membunuh harimau nyata di rimba..aku rasa macam dah berbelit-belit pulak aku tulis. Berbelit tulisan aku begitulah agaknya berbelit-belit jiwa-jiwa manusia yang hidup dalam watak-watak dalam novel tersebut… Kalau berani, pergilah memburu buku ini di Indonesia, atau datanglah selongkar perpustakaan serabut di rumahku dan aku bidik tepat ke kepala..Berani? Aku baca buku ini dari siang sampai hampir 2 pagi..bermakna ia agak menarik bukan?

Buku ini pula (di atas), adalah buku terjemahan novel The Yacoubian Building karya Alaa Al Aswany. Aku sebenarnya tidak pernah mengenal langsung penulis ini sebelum ini, tapi ia berjaya mencuri hatiku untuk membeli dan membacanya. Aku pun tak ingat bilakah tarikhnya aku beli ia. Yang pasti, sudah agak lama, dan begitu jugalah buku ini telah aku habisi pun sudah agak lama…tapi aku rasa saying karya sebegini kalau aku tidak berkongsi. Bila baca buku ini, aku selalu teringat dan sering juga cuba membanding –bezakan antara buku ini dengan buku ‘Midaq Valley [Lorong Midaq], karya penulis agung yang pernah memenangi Hadiah Nobel, iaitu Naquib Mahfouz.. dan kedua-duanya adalah dari Mesir. Dan memang aku rasa aku banyak berjumpa kesamaanya, terutama dari latar ceritanya..

Buku ini memaparkan ragam hidup golongan bawahan dan mewah di Kota Kaherah dan identity mereka yang sebenar; antara kejujuran dan persahabatan, hasad dengki, kepura-puraan, tamak, rasuah, cinta, seks, agama dan perjuangan; kesemuanya diadun sebegitu lumat dan dizahirkan melalui watak-watak yang berbeza, yang semuanya ada hubung kait sedikit sebanyak.. Dan kesemua mereka pula ada kena mengena dengan Bangunan Yaacobian, sama ada ianya menjadi tempat tinggal, tempat yang mereka berasal dan tempat yang mereka bekerja dan singgah.

Mereka adalah ahli politik yang rasuah, aristocrat yang suka perpelisiran, homoseksual, ahli perniagaan yang tamak, pejuang agama yang oportunis, malah golongan bawahan dengan segala intrignya. Kisahnya dikembang-kembang menjadi luas dan dihimpit-himpit menjadi sempit;khusus. Kisah percintaan yang buta dan tuli, dan mulus dan mekar.. Asyik sekali aku membaca buku ini. Buku ini aku beli dari KedaiHitamPutih.. cuba tanya jika masih ada stok. Dan mungkin buku ini juga ada di kedai-kedai lain pun, cuba jangan malas mencari jika berminat..sekarang kan zaman IT, Tak mungkin suara Siti Nurhaliza tidak sampai ke corong-corong radio di rumah masing-masing..hah!

Friday, March 4, 2011

Superman is Dead

Tiada akses internet memang bermasalah di zaman sekarang ni... Dulu tiada internet tidak pula masalah ini terasa, tapi semenjak dunia tanpa sempadan ini mula menjajah ke seluruh pelusuk dunia dengan pesatnya ke segenap penjuru bandar dan desa, ketiadaannya menjadi masalah...jadi buta dibuatnya..buta dengan informasi dan jaringan dunia... mungkin jika berada di mesir pada revolusi rakyat yang berlangsung hari itu, aku antara orang yang terkemudian keluar ke jalan raya.. bermasalah bukan?

Dulu di sekolah lama, aku senang sekali melayari internet yang semenjak dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza "Celik IT" itu.. tapi sekarang, aku kembali berada di bawah tempurung.. Lagu-lagu nyanyian Siti Nurhaliza itu pun sangat kurang cuping telinga ku ini mendengarnya... antara dengar dan tidak... Bukan meletakkan pertukaran yang tanpa ku pohon ini sebagai alasan mutlak, tetapi lebih dari separuh alasannya adalah begitu.. Ya, aku bertukar sekolah lagi sejak sesi persekolahan 2011 dibuka..hahaha..bukan main-bukan main!

Aku pun menjadi seorang insan yang begitu sangat ketara keletihan.. dan setelah sekian lama aku tidak menghidapi sakit kepala secara rutin harian, sekarang ia menghantui lagi..aku lazimnya akan demam setiap kali menjelang malam dan pagi..lenguh urat sarafku.. Ini berlaku sebulan dua ini...tapi tidaklah pula aku berkongsi duka ini melainkan pada hari yang berbahagia ini...berbahagia sebab dapat mendengar nanyian Siti tentang IT, walaupun mungkin untuk sekadar sebentar ini..Hah!

Dalam keletihan yang tidak tahu di mana puncanya, sempat juga aku menghabiskan buku dalam masa seminggu dua ini.. di bawah merupakan buku-buku yang telah sempat aku habisi (ceh macam menghabiskan riwayat je!)



Isteriku pernah bertanya apabila melihat aku membaca dan memegang buku ini " Itu buku karangan Tok Guru ke?" [dia merujuk kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat]. Aku mengatakan bukan. Aku mengatakan bahawa ini adalah strategi pemasaran yang cuba mengaut untung atas nama. Dan hal-hal seperti ini sudah menjadi ghalib dalam pemasaran dengan membesarkan apa yang sebenarnya kecil dan mengecilkan apa yang sebenarnya besar...sebagai contohnya dalam apa-apa peraduan atau dalam poster-poster pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh pihak bank..
Baiklah, bercakap mengenai buku ini..ia disusun oleh Ahmad Fadhli bin Shaari, iaitu setiausaha akhbar Menteri Besar Kelantan, dengan pandangan sisi dimulakan dengan tulisan Nik Aziz sendiri..[sebenarnya inilah yang isteriku terkeliru, dan dia tidak pernah cuba untuk membaca pun haha]. Buku ini jika dipasaran gelap DIY, lebih merupakan sebuah fanzine yang pro-printed yang mana penceritaannya bukan dari satu pokok seperti sebuah novel. Ia memuatkan banyak penceritaan dari asal Yahudi lampau di Mesir dan sekitarnya [baca: Palestin] serta Madinah, sejarah moden yahudi, sampailah cerita-cerita seputar gerakan Ikhwan di era Yusof Qardhawi dan beberapa komentar sebelum, semasa dan apa yang diharapkan pasca revolusi 2011 ini. Turut dimuatkan gambar-gambar demonstran dan pelbagai lagi yang dipetik di sana sini. Juga turut dimuatkan dengan tulisan Pro. Madya Dr Asri Zainul Abidin bertajuk "Rejim Yang Zalim Mesti di Tukar". Sebuah tulisan semi ilmiah yang kompak dengan fakta dan pandangan-pandangan yang masuk akal dan kritis. Sesiapa yang membaca buku ini akan dapat mengetahui secara ringkas dan jelas apa yang sebenarnya berlaku di Mesir, dan bagaimana Revolusi 2011 ini bermula..dan bagaimana nyanyian Siti Nurhaliza juga sampai ke pelusuk Mesir sehingga rakyat beramai-ramai turun ke jalan! Buku ini berharga RM 10, tetapi aku beli dengan harga RM8 sempena pelancarannya pada minggu lepas



Buku ini akan aku kategorikan ia sebuah buku koleksi perpustakaan peribadi aku... dan sungguh aku akan sekeh kepala jika ia dipinjam tanpa dikembalikan. Ini merupakan buku yang aku bawa balik dari Jogjakarta tempoh hari. Buku ini mengisahkan seorang janda beranak satu yang menjalani kehidupan yang perit saat dia masih bersuami, kerana sentiasa dipukul dan dijadikan bahan oleh kerakusan suaminya..kerakusan suaminya itu jika aku simpulkan terus adalah berpunca kerana kesempitan hidup di era itu dan bagaimana kesempitan hidup ini sebenarnya membuatkan manusia menjadi ganas dan kasar tanpa pedoman..ditambah pula ia adalah zaman kelam di mana manusia berhati binatang. Secara asasnya buku ini sebenarnya ditulis sebegitu indah dan meletakkan susuk seorang perempuan bernama Pelagia, dalam sebenarnya memperlihatkan keaadan sosial [seputar kaum buruh] disekitar kota industri di Rusia sekitar awal abad ke 20, ketika benih-benih revolusi mulai tumbuh.
Buku karya Maxim Gorki ini digarap begitu baik dengan jalan penceritaannya sehingga boleh membawa anda bersama menelusuri keadaan hidup yang tajam, sehingga hidup dalam kesedaran dan bersama-sama memperjuangkan nasib dan kebenaran yang selalu ditipu dan dis0rokkan oleh kaum pemodal dan pemerintah. Sebagaimana yang aku katakan tadi ia menggunakan sosok seorang perempuan dalam menceritakan apa yang sebenarnya berlaku disekitar itu.. Pelagia Vlassov iaitu seorang mangsa korban kekerasan rumahtangga yang mendapat semangat hidupnya kembali setelah sesuatu yang pelik terjadi ke atas anaknya Pavel yang kemudiannya berkembang kepada kawan-kawannya dan seterusnya meresap kepada dirinya sendiri..iaitu semangat perjuangan kaum buruh..bukan main..tak terceritakan! nanti jika diceritakan terus ia akan memakan masa yang panjang untuk aku menulisnya.. Buku ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Indonesia, dan mengikut penerbit, ia diterjemahkan dari versi Belanda [versi yang dikatan lebih asli dari versi asal dari versi Bahasa Inggeris].. Dan bayangkan penterjemahnya adalah PRAM. Tidak perlu bimbang akan bahasa yang payah, kerana ia tidak begitu. Di Malaysia buku ini boleh dibeli dari Kedai Hitam Putih (website disebelah)..Usahakan!



Dulu, semasa di Maktab, ada seorang teman yang selalu obses dengan gerakan Ikhwan di Mesir. Nama Yusof Qaradhawi sering sahaja meniti dibibirnya ketika membicarakan tentang Ikhwan dan isu-isu agama..terkadang nama Hassan Al Banna sendiri sering tenggelam dengan kekaguman sahabat itu akan Dr Yusof Qardhawi. Dulu semasa tingkatan satu, aku pernah terbaca sebuah buku yang ditulis oleh Hassan Al Banna berjudul " Detik-detik hidupku" yang menceritakan perjuangannya dan Ikhwan di Mesir, namun aku tidak faham sangat..semasa di asrama, aku ajukan buku yang aku baca itu kepada seorang ustaz yang memandu kami dalam usrah..lalu di suruh ustaz berkenaan supaya aku membawanya bila aku pulang dan kembali ke asrama..bila aku pulang kekampung aku tidak lagi menjumpainya sampai saat ini. Di Maktab dahulu aku sibuk juga mencarinya di perpustakaan tetapi tidak berjumpa..lantas aku terpaku juga dengan tetralogi PRAM, dan buku-buku memoir Pak Sako, Keris Mas dkk..
Buku ini dicetak dan diterbitkan di Kuala Lumpur tetapi jika diteliti ia banyak menggunakan Bahasa Indonesia..mungkin terjemahan asalnya adalah dari penterjemah negara Jiran itu..dan aku pun tak faham Editor Bahasa Malaysia itu apa..mungkin memoderasikan bahasa.. Buku ini, jika boleh dianggap memoir, maka ia ya.. banyak menceritakan pengalaman-pengalaman Dr Yusof bersama Al Ikhwan Al Muslimun. Bagaimana dia mula berkenalan dengan Ikhwan, bagaimana dia sanggup berjalan kaki sejauh 11km untuk berdakwah kerana malu untuk meminjam duit dari rakan-rakan, bagaimana perkenalan Dr Yusof dengan pengasas Ikwan; Hassan Al Banna dan bagaimana kekagumannya dengan tokoh tersebut. Dr Yusof juga banyak menceritakan masalah-masalah luaran dan dalaman Ikhwan sendiri, semasa dunia gelap yang dianggap jahiliah yang diterangi oleh sinar Ikhwan, yang akhirnya gerakan tersebut sendiri menjadi malap..Pengharaman Gerakan Ikhwan di beberapa zaman pemerintahan, dasar-dasar ikhwan dengan kerajaan, dari Era Muhammad Najib dan selepasnya di zaman yang mereka anggat Toghut Jameel Abd Nasir.
Entah kenapa, bila masuk je bab-bab kena penjara, kena dera, aku akan membacanya dengan tekun..bukan buku ini sahaja, buku-buku lain pun yang ber'genre' penjara, tanpa aku sedari, aku tatapinya dengan tekun..mungkinkah suatu hari aku akan disumbatkan ke sana juga..NauzubiLLah. Tetapi, dalam banyak-banyak aksi penderaan yang aku baca dalam pelbagai buku sebelum ini, penderaan-penderaan dan seksaan yang ditanggung oleh anggota Ikhwan di zaman itu adalah jauh lebih dahsyat.. sehinggakan menyebabkan ramai juga tawanan yang mati dalam penyeksaan.. Buku ini pun, kalau bukan seorang pendakwah, seorang revolusioner pun patut baca..untuk ambil pengajaran dan motivasi hahahaha... dan orang-orang tabligh, bacalah buku ni...jangan sempit sangat!!

Monday, February 21, 2011

Jogja-Solo yang indah

sedikit mengenai "Kasih Sayang Jogja-Solo tour" pada beberapa minggu lepas


Kami bernasib baik, mempunyai kontak (orang perhubungan) yang baik. Jadi sebaik tiba di Adi Soemarmo Airport di Solo, kami terus di jemput oleh mereka; iaitu Anggit dan rakan bandnya Tumjung. Sebelum itu, semasa menjalani prosedur biasa kemasukan ke Negara baru, kami semua telah dikejutkan dengan keletah Muiz dan Yoe yang tidak mendapatkan borang VOA (visa on arrival) dan kastam semasa di dalam pesawat terbang.. terkadang rasa macam tak masuk akal macamana ‘form’ tersebut terlepas pandang dari mereka sedang pramugari yang cantik molek terkedek-kedek ke setiap tempat duduk penumpang mendistribusikan borang-borang tersebut. Jadi kami ketawa dan menakut-nakutkan mereka sebentar..haha.. Keluar dari lapangan atau bandara di dalam bahasa Indonesia, kami terus diterkam oleh mereka berdua dan setelah berkenal-kenalan kami terus di bawa menaiki van ke tempat makan untuk mengisi perut sebelum ke stesyen keretapi untuk bertolak ke Jogjakarta. Dan, sebelum ke stesyen tersebut mereka sempat membawa kami berputar-putar di sekitar Bandar Solo.

Setengah jam sebelum keretapi ke Jogja tiba, kami sudah sampai di Stasiun Solo Balapan. Setelah membeli tiket dan befoto-fotoan kami terus menaiki keretapi meninggalkan Anggit dan Tumjung..apa yang kami selalu bualkan sepanjang sekejap bersama mereka hanyalah kesukaan yang tidak habis-habisan pada akhirnya mengulang-ngulang perkataan ; bisa’…ular bisa!. Haha. Jadi sekarang kami sudah berada di dalam kereta api kelas ekonomi seperti yang dinyanyikan Marjinal. Kereta api penuh sesak dan aku serta Najid terpaksa berdiri bersesak-sesak juga. Setelah lebih kurang 1 jam perjalanan, maka sampailah kami di Stasiun Tugu, Jogjakarta, dekat dengan Pekan sibuk yang terkenal..Malioboro!

di ruang tamu rumah penginapan harum

Di sini, kami disambut oleh Indra Menus (To Die-YogyaHC), dan seorang teman wanita yang aku sudah lupa namanya..maklumlah nama-nama mereka agak unik dan susah lidah kami hendak menyebut.. dan kami berjalan kaki dari stesyen keretapi ke tempat penginapan kami di Malioboro. Malioboro memang terkenal sebagai kota pelancongan dengan barang-barang murah dan peniaga-peniaga tepi jalan yang begitu meriah…dan setelah lebih kurang 15 minit menapak (agaknya tak sampai atau mungkin lebih), kami sampai di tempat penginapan, Harum namanya..Dengan harga yang berpatutan, kami jadikan ia rumah sementara kami! Setelah melepaskan lelah dan menyimpan barang-barang yang berserabut..kami keluar untuk minum..kopi arang kata Indra! Biar betul, ini macam nujum pak belalang!

kopi arang, pisang aroma dll ( tengok tu betul2 arang)

Jadi, kami menapaklah lagi menyusuri peniaga-peniaga kecil Malioboro yang begitu sibuk menawar-nawarkan produk, juga yang bersibuk-sibuk mengajak kami ke gerai minum mereka sampailah kami ke tempat yang dimaksudkan untuk menikmati kopi..rupanya ia berhampiran dengan stesen kereta api. Jadinya ia ibarat berpatah balik dan kami menganggap ia adalah sebuah perjalanan menambahkan stamina hahaha. Jadi sekerang kami di venue menikmati kopi…yang betul-betul guna arang..kelat dan tawar rasanya, tetapi masih boleh dihirup oleh bibirku dan laju tengkuk menelan. Bermakna, ia kategori sedap [ kan siapa yang pernah membaca jurnal aku tetang makanan maklum kalau aku kata ok maknanya ia sedap :P]. Seingat aku, selain Indra sendiri, hanya aku dan Najid sahaja yang mencuba kopi tersebut sementara kawan-kawan yang lain memilih untuk minum air-air lain. Mat memilih es jeruk ( yang akhirnya menjadi air minuman utamanya dan ramai kawan-kawan akhirnya mengikut ;- sejenis minuman berais seperti air limau nipis; sort of lah!). Dan hidangan istimewa yang kami nikmati di sini ialah Pisang Aroma, yang ternyara memang beraroma dan menjadi kegilaan tengkuk teman-teman. Selepas itu kami pulang ke penginapan dan Indra serta kawan perempuan tadi memisahkan diri dari kami buat kami berehat sekadar mungkin.

makan2 bersama indra dan teman (yang di sebelah indra itu saya perkenalkan...MR Debab yang masih belum berpunya dan kuat sembahyang sunat )

Sekarang kami sedang berehat…mandi, solat dan ada yang sempat ronda. Agak selesa juga berada di rumah penginapan Harum ini. Nenek tua empunya rumah, malah menyediakan air mineral sejuk beserta gelas untuk jamuan. Kalau dinihari, sering sahaja aku melihat nenek itu berbalas-balas mesej sambil menyapu perkarangan rumah dan di dalam rumah.. mungkin mesej pakwe agaknya. Debab dengan selamba roknya memanggil nenek itu dengan panggilan neng.. neng itu maksudnya ‘miss’..apalah Debab! Aku lebih selesa memanggilnya ibu..dengan sedikit lorat Indonesia ibu’. Pukul 8 malam, Indra dengan termengah-mengahnya sampai ke penginapan.. katanya ada show di Taman Budaya Yogyakarta, berhampiran dengan Pasar Buku Shopping Center. Agak aku dia akan membawa kami ke toko-toko buku tersebut [kerana pada siangnya tak sudah-sudah aku mengulang untuk mencari buku-buku] dan selepas itu ke show..tapi meleset. Kami naik bas, dan kami turun dan kami hanya melewati sahaja pasar buku yang separuh tutup itu lantas terus ke show. ..nah!,katanya seorang teman dari Resist Book pun ingin berjumpa aku di sana. Oh! ini adalah free show.. yang bertiket! Pelik kan?

Menurut penyampai, show tersebut adalah bertujuan berkongsi budaya muzik Australia dengan Indonesia.. wah! Layan.. persembahan pertama adalah persembahan solo dengan customize keyboard yang telah diprogramkan dengan macam2 bunyi…layan, dan layan dan akhirnya semua layan zzzz…penat.. Bila persembahan kedua yang menggabungkan element dram dan gitar yang noise, aku tengok hanya Yoe sahaja yang bersungguh-sungguh melayan sedang yang lain asyik layan tidur.. Memang energetic, tetapi bagi aku agak lame.. jemu… mungkin sebab aku juga keletihan ditambah dengan ‘frust’ tak dapat ke pasar buku.. selesai je persembahan kedua aku keluar bersama-sama dengan Najid.. Bila tengok je aku keluar, sederetan kawan2 yang bersama dari Malaysia pun keluar..lepas tu seorang..dan seorang lagi..lepas tu semua pakat keluar. Aku tak tahu samaada persembahan ketiga ‘on’ atau tak..rasanya tak sebab semua orang pakat keluar. Teman dari Resist yang kononnya ingin berjumpa dengan aku pun tak muncul-muncul.. dan kami menapak sesambil mencari tempat makan buat bekal perut supaya tidak berbunyi semasa dibuai mimpi.

Najid masih segar sebelum show

Selesai makan, kami terus ke penginapan.. semuanya menapak… bak kata AR Tompel, “mm..lebih baik jalan kaki..dah tentu penat!”. Yoe, macam biasa.. sampai lepak jap terus zzzz.. aku, Muiz, dan Mat bersembang-sembang sambil praktis ala kadar kat atas katil dengan Najid yang menjadi penunggu setia…maklumlah kami x sempat praktis langsung pun dekat Malaysia sebab masing-masing berdiam di tempat yang jauh-jauh; melata!. Dan tidaklah mudah untuk kami berjumpa dan berkumpul.

Pagi itu kami bergerak seawal mungkin, membeli belah dan ke pasar buku tanpa bantuan Indra. Saja aku suruh indra berehat-rehat dulu di rumah, walaupun rencananya indra akan berkunjung ke tempat penginapan kami pada jam 10. Kesian juga kat dia melayan kerenah kami, so kami ikut kaki sendiri je. Lebih kurang sepuluh kilo jugak kot buku yang aku borong..dan Najid pulak hampir sekodi memborong kain batik sarung. Ada pulak makcik jual batik tu cakap bahasa jawa ngan aku dan suruh aku translate kat Najid, apa ingat aku orang jowo ke? At last aku cakap jugak kat makcik tu, aku pun orang Malaysia..hah!


bersambung daa....

Sunday, July 25, 2010

Ketimpang!!!

Sanggar Singa Murti : Bengkel Gamelan Bali
Dataran Shahbandar : 25/07/2010

Unite – Strict Tease



Kalau tengok surat khabar, tiap-tiap hari isu perpaduan UMNO-PAS di canangkan. Di akhbar Sinar Harian pula, pandangan rakyat dan pemimpin akar umbi tentang isu tersebut semacam paparan wajib pada tiap-tiap hari. Yang di tanya pula kebanyakkannya ialah pengerusi KRT, atau persatuan-persatuan melayu, tidak pula menggambarkan keseluruhan pimpinan akar umbi atau rakyat marhaen dari pelbagai sisi komposisi penyokong parti atau simpatizer atau orang kebanyakan. Jika ia menyeluruh, aku rasa, mungkin ada salah satu jawapan tulus yang berbunyi, “saya x kisah samada ia berpadu ke apa ke, yang penting saya hidup bebas..cukup makan, sebab saya tak minat sangat politik-politik parti ni”. Tidak semestinya, tapi keMUNGKINannya besar. Maka, tidak hairan jika kebanyakan pendapat mengatakan bahawa isu perpaduan dua entity politik ini mesti digerak..haha, aku tersenyum sambil geleng-geleng kepala saja…baik aku tengok gamelan.



Crack Me - Subculture



Entah kenapa banyak benar event diadakan di Negeri Terengganu sejak kebelakangan ni. Ada shuffle lah, nanyilah, karnival itu, carnival ini dan semestinya, setiap event kebanyakkan yang lebih ditonjolkan adalah artis daripada agenda sebenar event tersebut. Konvo sini artis, konvo sana artis. Meniaga tepi jalan pun nak kena jemput artis, mapuh kerah cokeng! Itu tak termasuk lagi acara bulanan iaitu Program Juara Rakyat. Program Juara Rakyat ni, selain menampilkan artis popular, juga menampilkan artis-artis tempatan dan acara wajib yang paling boring gile sejak zaman-berzaman; Karaoke. Macam Sial! Ops…tak baik menyumpah di sini.



Yang paling aku rasa tak berbaloi ialah ada guru yang kena bertugas untuk acara ini. Kena ‘set-up booth’ dan macam-macam. Sekolah aku sendiri kena menampilkan satu persembahan kanak-kanak khas / istimewa (istilah ini, sungguh aku rasa geli) tempoh hari di salah satu acara Program Juara rakyat ni. Oleh kerana ia bukanlah acara yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran, maka ia tidak di ‘sponsor’ dan haram ‘claim’. Dahlah jauh nak mampus, panas pulak tu.Kahkahkah, buruh paksa!. Sian budak-budak cacat ni. Oh ya, program juara rakyat ni mengikut tema bulanan. Aku tak pula pasti benar samaada bantuan orang miskin, OKU dan warga emas diberikan pada bulan tema kebajikan sahaja atau ia diberikan pada tiap-tiap acara. Sebab aku, bak kata The Clash “I fought the law!” dan aku dengan aksi menentang, tidak pernah menghadirkan diri walaupun sebenarnya terlibat secara langsung dengan salah satu acara program ini. Jangan pulak kerana aku menyampah, ada yang larang mak bapak dia pergi untuk ambil apa-apa bantuan dan dana yang disumbangkan…duit kita gak tu..pergi je terima kalau ada…tapi aku; lebih baik aku layan gamelan!



Ballard of a Thin Man – Bob Dylan



Semalam, berakhirnya temasya Festival Gamelan Sedunia 2010. Banyak kumpulan Gamelan yang turut serta dalam festival ini. Antaranya dari Indonesia, Jepun, Jerman dan semestinya dari Malaysia sendiri yang kebanyakkannya terdiri dari kumpulan-kumpulan gamelan Institusi Pengajian Tinggi. Disamping itu, ada juga kumpulan gamelan tradisional dari Negeri Terengganu sendiri (aku panggilnya tradisional hanya kerana ia dianggotai oleh+ anak muda juga sebenarnya orang-orang tua pewaris kepada pemain gamelan istana di zaman dahulu). Dua malam sudah, aku sempat menyaksikan beberapa persembahan gamelan, antaranya persembahan kumpulan gamelan jawa dari Solo Indonesia; Garasi Seni Banawa (lebih gothic dan dark dari Therion, lebih soprano dari pavarotti, scary, kuno dan macam-macam lagi…sungguh horrow dan bunyiannya macam-macam..jika anda suka Pink Floyd atau Roger Waters, maka itu sebenarnya tiada apa-apa jika dibandingkan dengan bunyian gamelan jawa ini..ia sungguh satu persembahan yang sangat mengkagumkan), kumpulan gamelan dari Universiti Malaysia Sarawak, sempat sedikit aksi Gamelan Minangkabau(penari-penarinya memijak-mijak kaca sampai berderai…spesies begini bahaya dijadikan isteri. Takut-takut disuruh pijak belakang, dipijaknya kita sampai hancur lebur tulang-temulang kita), aksi kumpulan pemuzik tradisional moden Istana Budaya (agak ‘lame’ dan tipikal malaysia..terkadang terasa instrumen melebihi hasil bunyi-bunyian) dan tak terlupakan kumpulan Gamelan Bali. Persembahan Gamelan Bali, sungguh menarik..bukan dari segi kostum atau persembahan tarian ceritanya, tetapi dari segi muziknya; sedap di halwa telinga, rancak, pengunaan masa yang tepat seperti ada metronome yang mengira, laju, padat, tetapi semuanya masih lagi asli tradisional dan segar. Pun begitu, penceritaan dan seni tari dewa dewinya juga tidak dapat disangkal lagi. Jika tidak melebih-lebih, tarinya lebih super duper superb dari tarian latihan Madhuri Dixit dalam cerita dilto pagal hail. Nama kumpulan gamelan ini adalah Sanggar Singa Murti. Sesiapa yang meminati muzik gamelan tetapi tidak berpeluang ke festival, jika ada persembahan dari kumpulan ini, pergi aje la… aku rasa ia berbaloi.



Pagi semalam sempat juga aku bawa murid-murid program aku + murid aliran perdana mengikuti Bengkel Gamelan Bali di tapak festival berkenaan, tapi itulah.. budak-budak khas ni, kalau dengar orang bercakap-cakap mereka akan cepat boring dan ia aku rasakan sedikit mengganggu perjalanan bengkel berkenaan..jadi kami bawa mereka pergi dari bengkel berkenaan ke taman awam batu buruk untuk mereka melepaskan tekanan.



Seperkara mengenai kepergian aku ke Festival Gamelan tersebut, aku juga berjumpa dengan muka-muka yang familiar… sungguh aku rasa terkejut melihat mereka juga meminati muzik-muzik sebegini. Antaranya Kuyie, Edie Old Parasit dan Edder Vadder. Oh ya, memang persembahan begini tidak menarik minat rakyat tempatan sebab ia bukanlah program artis-artis popular dan penyanyi perdana Negara, jadi anda tidak perlu memikirkan kesesakan parking.



Cis, kau ingat aku pergi ke festival berkenaan sebagai apa? HaHAhaHAha, aku pergi adalah sebagai seorang budayawan. HaHAhaHa, kalau tak percaya tanya Dinsman atau Azizi Abdullah, mereka mengatakan aku adalah budayawan…kan Jera Kan?, kan Zaidi kan? Kan kawan-kawan kan? Dan jangan pula buat sembarangan kerana aku juga adalah seorang ulama’. HaHAhaHAha, kalau tak percaya tanya Ustaz Mohammad Mustaffa, Adun Demit…Hahahaha..kalau tak percaya tanya anak-anak muda harapan rakyat di Kelantan…Kan Jera kan? Persatuan penulis Kelantan apa cerita beb?



p/s : Apa beza Surat Khabar dengan Akhbar ? ahli bahasa, guru bahasa, juru bahasa, persatuan bahasa, peribahasa, dok reti base tolong jawab.




Sedang Mendengar ::: Comfortably Numb - Pink Floyd



“ Telah membuatkan kalian lalai, bermegah-megahan. Sampai kalian masuk dalam kubur”. At-Takathur 112: 1-2.



Thursday, December 31, 2009

A for Arrogance (Agathocles)

Ini aku buat untuk Kasih Sayang, dan sememangnya Kasih Sayang untuk semua

Bumi Meretak...Humanis Terperap.. # 2

Tidur
walau mata tidak terpejam
Walau hari bergerak pantas
Walau kaki gah berjalan
Walau kudrat memerah keringat

Khayal
Walau pelali tidak disuntik
Walau air masih di muka
Walau makanan masih di mulut
Walau maut memberi tanda

Pulau makin jauh ke tengah dan ia terus mengecil
Daratan makin terhakis, air laut semakin hampir
Struktur tanah mula berubah, air bah makin selalu menyimbah
Tidak cukup musim untuk menadah
Kerana semuanya habis ditarah…

Cipta istilah
Mula mencari ahli geologi, mula menambah catatan sejarah
Rutin rakus terus di kejar, meski panduan, batin dan akal telah di surah
Pemanasan global terus disalah, di seret ke sana sini untuk berbalah

Berbagai mesyuarat diusahakan
Tak cukup konvensyen mencari penyelesaian
Rutin rakus tetap berjalan
Tak boleh halang, kerana semua cari makan
Mengkambing hitamkan pembangunan
Atas nama kesenangan semua orang
Atas nama membasmi kemiskinan
Atas nama mendaulatkan kerajaan

Ia kata, keramatnya tiada, pujangga tidak bersuara, auta-nistanya logika, kebenarannya ada, tapi hanya Cuma. Mesti waspada, harus jaga-jaga, wajar bangkit dari lena, tinggalkan khayal yang sia-sia.

Di depan apa kurangnya?
Realiti dari sebalik kata yang salah-menyalahi
Pembangunan untuk kesenangan,-kemewahan bagi mereka yang hanya berkedudukan
Untuk marhaen bersedialah mendepani bencana, kerana kita sentiasa berdiri
Mencari sesuap nasi untuk diri, untuk anak bini dan juga mereka yang duduk.
Sedang mereka yang duduk, di atas kerusi empuk melihat kuli-kuli membanting rutin rakus mereka, untuk kesenangan yang kawan-kawan kita hanya dapat tempiasnya, sedikit..tapi bala tetap menimpa!
Orang lain buat kerja, orang lain dapat malapetaka.
Melarat tidak sudahnya!

Salahkan perompak dan pencuri kecil
Bila rumah mewah dan perusahaan kau di pecah
Hey kau Kapitalis dan Hey kau kuku besi, berkata kau mereka itu penjenayah
Yang hati mereka telah dicuri dan dirompak oleh kesempitan
Yang disedut air-air jernih hatinya menjadi kering
Yang menjadi tidak cukup iman, tidak cukup moral untuk menjadi ‘orang’
Yang kau cuba bangunkan, kerana mereka ini tiada sekepeng modal untuk digelar insan
Yang ibu-bapanya kau jadikan hamba, untuk bersibuk-sibuk dengan kerja
Kerana istilah ‘senang’ kau janjikan, susah-payah tak terjumpa-jumpa
Sedang bangunan-bangunan hampir kesemua tempat bertanah kau bangunkan
Yang akhirnya bangunan bangunan ini menjadi bala golongan marhaen dan kawan-kawan kami :-
Yang terkena tempias istilah ‘senang’
Yang kau kata…… Celaka!

Cis Kapitalis
Gondol semua pasak bumi
Konon untuk menampung populasi
Bukan untuk kepentingan sendiri?

Di sini, bahkan di negara lain pun, populasi meningkat menjadi padat kerana kebanjiran warga yang kau panggil melalui pembangunan
Kau tarah bukit bukan kerana keperluan, tatapi kerana kemewahan
Kerana uwang, yang kau kuasakan, tanpa mengira apa fungsinya..(bukit gunung ganang)
Ahli geologis tidak berguna, saat bencana tidak tertimpa…mudah sahaja sifirnya! Cis!

Jika atas alasan keperluan menampung populasi, kenapa ramai orang yang bergelimpangan di India tidak berumah tidak dibantu. Di India banyak bukit boleh dijadikan penempatan, kau lacurkan ia untuk tujuan pelancongan berkelas tinggi.. biar rakyat sesak hina dina, biar selamanya menjadi hamba kerja…bahkan tanah datar pun banyak yang tidak terusik, tapi tidak kau peduli..kerana mereka tiada berkuasa beli…

Atas alasan populasi apakah ramai rakyat merempat di Indonesia? Tarah tempat tumpuan, tarah gunung-ganang, semuanya untuk orang berkedudukan..sedang marhaen tetap merempat…melarat, meminta-minta, bekerja keras menggunakan kudrat, hidup hanya Cuma-Cuma.

Cis kau pemerintah!
Dalam televisyen berapi-api
Di media cetak pun berperi-peri
Pembangunan sana- pembangunan sini
Tabur segala janji, racun para pengundi
Agung-agung dengan subsidi
Biar terasa terhutang budi
Wajib mengkikut ulul amri
Ini hakam, di sini adli!
Cis cis cis
Kerana kebijakan mereka
Marhaen menderita, terkebil memandang pembangunan yang dipacu
Dari hilir sampalah ke hulu
Menarah apa yang boleh di tarah
Teroka apa yang boleh dibuka
Kesannya kemudian kira
Sasarannya, mestilah dari kalangan mereka-mereka
Rakyat marhaen boleh di lupa
Dengan racun-racun subsidi
Dengan kotak peti televisi

Bumi Meretak..humanis terperak…jahanam
Kemusnahan pasti datang, aku kami dan kau tidak terlepaskan!

Sedang Mendengar ::::: Us & Them (Pink Floyd)

"Dan pada hari kiamat kamu akan melihat orang-orang yang berbuat dusta terhadap Allah, mukanya menjadi hitam. Bukankah dalam neraka Jahannam itu ada tempat bagi orang-orang yang menyombongkan diri?" - Az Zumar 39:60

Saturday, September 12, 2009

Beijing!!!

Tajuk: "Rock di Beijing (nasib baik x kena pelempang dengan Pak Imam)"

Kena tangkap : Ejey, Serul, Hakimi, BJ
Tukang tangkap : Basrey (dlm loghat siam-kelantan)
Tarikh tangkap : 14 Ramadhan 1430H / 4 sept 09


" Bila mentari terpadam
Kita akan dibangkitkan
Menerima harapan
Atau kepanasan! " - Dari Tuhan (Wings)


" Dan Allah sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan". - Al-Munafiquun 63:11