Showing posts with label matii. Show all posts
Showing posts with label matii. Show all posts

Tuesday, January 3, 2012

Yojana

Berjalan jauh banyak dilihat, lama hidup banyak dirasa

7/12/11. Aku ke Hospital Besar Kuala Terengganu (HSNZ) bagi menghadiri temujanji untuk mendapatkan rawatan. Masa temujanji adalah pukul 11 am. Masa mendaftar 10.37. Jumpa doktor pukul 4 lebih..petang!! Nikmat sungguh menunggu.

22/12/11. Ayah warded di hospital. 26/12/11, ayah keluar.

Apa jadi pada pendaftaran?

Aku seorang kakitangan kerajaan. Sebagaimana yang dimaklumkan kakitangan kerajaan tidak lagi perlu kepada GL untuk ke Hospital kerana telah dicanang-canangkan bahawa HRMIS bakal membawa jalan keluar kepada permasalahan untuk mendapatkan GL. Cuba bayangkan, seorang guru yang mengajar di Kemaman, terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital di Kuala Terengganu. Agak-agaknya logik atau tidak nak dapatkan GL on the spot?.

Masa aku pergi untuk dapatkan rawatan, aku terpaksa menunggu lama untuk pendaftaran disebabkan capaian HRMIS tidak dapat dilakukan. Aku memberitahu bahawa aku adalah kakitangan kerajaan dengan harapan dia akan terus melihat kepada HRMIS setelah dimaklumkan begitu. Tetapi tidak, dia meminta GL. Aku meminta supaya menggunakan HRMIS sahaja untuk didaftarkan dengan suara yang sedikit mendesak dan garang. Akhirnya aku diberi nombor pendaftaran. HRMIS? Taik kucing; besor tahik pada jubo!. Tak dapat guna pun.

Masa ayah aku masuk wad secara emergency, aku daftarkan dia. Sebelum apa-apa aku sudah siap-siap cakap aku pegawai kerajaan. Dia minta GL! Aku cakap, "aii kata pakai HRMIS!". dia melihat-lihat komputer dan print satu kad penempatan ke wad. Langsung tak bercakap. Kad yang diprint di beri pada aku..aku amati...Eh ni wad kelas tiga ni cik kak!! selambe dia jawab, "maaf Encik, HRMIS tak dapat line!".

HRMIS dapat line ke tak dapat line ke, itu masalah Hospital. Masalahnya aku sepatutnya mendapatkan hak aku.!!!

Banyak benar aku dengar rungutan pasal HRMIS ni. Aku sendiri pun pernah beberapa kali ke Hospital dan bertekak pasal HRMIS. Semua tak dapat dilaksanakan, tapi aku berjaya tidak membayar kepada perkhidmatan Hospital walaupun tak dapat keistimewaan kelas satu. HRMIS ni, nak kemaskini susah, nak masuk pun susah. Tapi sistem HRMIS nilah yang dibangga-banggakan sangat. Ceh, Lebih sudu dari kuah!!

SUDAHLA, MALAYSIA BELUM SEDIA DENGAN SISTEM CAPAIAN BERASASKAN INTERNET. JANGAN TIPU LA!!!!

Dan sekarang, guru-guru lagi ditekan dengan pelbagai lagi sistem capaian internet yang melemaskan...kahkahkah!!! sudahla woi.. insan pun tak cukup modal lagi!!


Berani hilang tidak hilang, berani mati tidak mati

Aku tukar sekolah lagi..kawan dari Besut pernah kata "huh demo, amat ke tiap-tiap tahun nah tukar!". PK 1 sekolah baru ni pernah berkata didalam mesyuarat perancangan sekolah sebelum ini. " saya, berkhidmat dah 25 tahun, hanya empat kali tukar. Bermakna reputasi perkhidmatan saya adalah baik!". Kahkahkah. Agaknya reputasi aku buruk eh?

Walaupun aku tinggalkan sekolah lama yang aku baru buka program baru setahun itu, namun dalam hati ada juga merasai kerinduannya. Apatah lagi ia bermula dari 0 sehinggalah Program Khas tersebut mendapat pengiktirafan sebagai yang terbaik di daerah tersebut bagi tahun semasa 2011. Dari hanya 5 orang murid sehingga tak sampai 4 bulan mencapai 17 orang murid. Itu pun kami terpaksa menolak dua tiga permohonan baru kerana kekangan guru. Menolak di sini bukanlah menolak secara total, tetapi 'hold' sementara, sehingga masalah kekurangan guru dapat diselesaikan. Ada pula sekolah, yang bermula dengan 3 murid sampai 2,3 tahun pun masih dengan 3 orang murid itulah juga. Dalam kesemua murid yang aku tinggal dan rindukan itu, 2 orang murid ini pasti menjadi ingatan sepanjang zaman.


Ini Nabil namanya. Dia mempunyai masalah kerencatan akal atau MR (mental retardation) atau dalam bahasa yang lebih lembut sekarang dipanggil Intelectual impairment ( Masalah intelek). Bagi aku Nabil sangat istimewa. Dia bercakap tidak mengikut sequence..main ikut cakap je. Tetapi dia petah. Pun begitu, sesetengah dari percakapannya ada juga yang menjawab soalan, walaupun tidak cerdik. Di dalam kelas dia seringkali menganggap bahawa dia itu aku dan aku ini dia. bila aku panggil dia "Nabil!" dia akan dengan sendirinya meletakkan jari telunjuk dibibir dan sejurus itu berkata, "Ning Cikgu Shabri ni, bukan Abil..ingat ah, ning cikgu Shabri..tu Abil" sambil menunjukkan ke arah aku. Sejurus itu biasanya dia akan mengarahkan aku laksana aku memang dia dan dia adalah aku..suruh beratur, suruh ambil kertas, suruh buat kerja dan macam-macam. Kebanyakan masa aku ikut je macam dia suruh, tapi banyak juga masanya aku tak layan. Macam Khairul dahulu, dia ni selalu sangat mengikut kemana aku pergi.. Kalau aku mengajar kat kelas sebelah, selamba je dia keluar dan meninggalkan kelas, guru dan kawan-kawan dia untuk mengacau aku mengajar di kelas aku. Time bulan puasa, dia dapat lesen besar dan menyorok makan kat belakang meja aku. Bila siapa-siapa atau cikgu mana je tanya tentang makanan, dia akan marah-marah dan kata "aih, puasalah!" walaupun dia tengah makan. Hahaha.

Contoh perbualan Nabil

Nabil : mareng (semalam) Abil gi bandor takdi(tadi)
Aku  : Nabil gi bandor mareng? Nabil gi wat mende?
Nabil : Eh, bukan gi bandor..Kuala Lupur lah. Gi naik kete api ari tu. Kat Kale po (KL)
Aku  : Doh, Nabil gi Kuala Lumpur ngan sape?
Nabil : Nabil gi Kolupo dengan ..mmm ..cikgu sabri nok gi kolupo x? nok gi x? naik kete api..syy jangan ajok dia..(sambil menunjukkan kawan-kawannya yang lalu).
Aku  : Ikut dang doh mung ni Nabil
Nabil : Syyyy..Baiklah esok kite gi kolupo.. naik kete api
Aku  : ada duit x nak beli tiket?
Nabil : Laju ngat
Aku  : Apa yang laju? kereta api ke?
Nabil : Kete bobo (volvo).. hok warna biru ongg mareng ada kat koberang (Kuala Berang) takdi (tadi)
Aku : Pulok dohhh...
Nabil pergi meninggalkan aku sekejap dan buat aksi lumba kete sambil bunyi wuuuuummmmm laju sambil corner baring sebelum datang lagi.. itu lah Nabil. kahkahkah!!!!

Sorang lagi yang yang tak kurang manja, aku tulis next entri

p/s: Yojana =jarak yang jauh; kejauhan

"...Dan adalah Allah Maha Meliputi (ilmuNYA) terhadap apa yang mereka kerjakan". An-Nisa' 4:108

Thursday, September 8, 2011

lembing = lembu - kambing

buat kesekian-kesekian dan kesekian kalinya


Kita tahu, tapi tidak nampak
Kita percaya, tapi tidak yakin

cermin sisi kita buang
cermin pandang belakang kita tidak hiraukan

apa lagi Al-Quran,,, simpan saja dalam almari!



"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang maa'ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha perkasa lagi Maha Bijaksana" - At-Taubah 9:71


Fitnahmu...
strategimu...
bakal makan tuan! haha
(mari merayakan fakta-fakta tersembunyi!!!!)

Wednesday, May 25, 2011

Guru Mendidik itu Melawan!

Ahmad KS
SK Dalam Gelung
12345 Putrajaya, Terengganu
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Ruj: pt/180/987(bil) 1
Tarikh: 24 Mei 2011
Guru Besar
SK Dalam Gelung
12345 Putrajaya, Terengganu
24 Mei 2011

Tuan,

KELAS BANTU LULUS
-------------------------

Perkara di atas adalah dirujuk;

2. Saya, serta sekalian guru yang ternyata malu-malu untuk memperkatakan secara terbuka dengan ini mengisytiharkan bahawa kami sangat menyokong program di atas yang dilakukan tiap-tiap hujung minggu Jumaat dan Sabtu sebagai satu program sokongan kepada kelas petang dan malam yang telah sedia ada. Wow! Sangat hebat dan sungguh bertuah kami.

3. Program ini memang sangat perlu dan patut diadakan demi meranapkan ops, memartabatkan lagi anak bangsa.. kerana mereka semua sememangnya patut ditekan-tekankan supaya memperoleh kejayaan yang cemerlang di dunia juga akhirat. Ini kerana semua benda lain tak perlu dipelajari terutamanya mencari ikan sekilau di dalam baruh atau bersama kawan mencari buah getah untuk dimain pukul-pukul. Semua pengalaman tersebut boleh dibeli di kedai-kedai runcit berdekatan, jadi tidak perlulah mereka sedikit kelonggaran masa untuk belajar sendiri seperti yang ditekankan dalam pembelajaran konstruktivisme. Apa yang mereka perlukan ialah kelas hujung minggu ini.. itu pokok kejayaan sebenar

4. Program ini juga ternyata sangat hebat kerana ia merentasi dan melampaui pekeliling yang menyatakan guru hanya boleh di panggil pada dua kali sabtu setiap bulan jika ada sebarang keperluan yang mendesak.

5. Disamping itu, kami guru-guru memang sangat berbesar hati dengan kewujudan program ini kerana dengan sendirinya masa kami bersama keluarga sangat terhad. Ini adalah plan yang baik untuk menjarakkan anak dan untuk lari dari tanggungjawab sebagai suami atau lebih-lebih lagi isteri serta sebagai anak/bapak/ibu. Semua itu ternyata tidak penting untuk pemupukan generasi yang mapan pada masa depan. Yang lebih penting ialah kejayaan program ini diharap dapat meningkatkan prestasi sekolah.

6. Selain daripada itu, jika kita berbalik kepada murid, program ini memang amat menguntungkan mereka kerana setelah diamat-amati program pembelajaran berterusan begini adalah untuk pengasahan minda dan mengelakkan stress... dan perlulah diingat, kanak-kanak tidak ada hak untuk bersosial dan mendapat kasih sayang yang utuh dari keluarga di rumah kerana memang kanak-kanak zaman moden ini ditakdirkan untuk belajar sahaja... sebab mereka ternyata tiada perasaan


sekian terima kasih

"CUKUP PUAS HATI, LEBIH DARIPADA TU"


Yang sohih,

Ahmad Ks

Saturday, May 14, 2011

sudah naik lagi

Cis,cis, cis kucing
Naik lagi kau binatang
Tak puas minyak kau telan
gula, kicap juga kau sapu

cit-cit-cit tikus
Naik lagi kau setan
tak puas minyak kau ecer
gula, beras juga kau kerit

lik-lik-lik lipas
Naik lagi kau di timbang
tak puas minyak kau kencing
gula, bawang juga kau bedal

tanah tiada sekangkang kera
buat rumah atas busut
mintak sedekah naik gaji
kena tindas...yah enak sekali..

selamat hari-harimau!

Monday, February 21, 2011

Jogja-Solo yang indah

sedikit mengenai "Kasih Sayang Jogja-Solo tour" pada beberapa minggu lepas


Kami bernasib baik, mempunyai kontak (orang perhubungan) yang baik. Jadi sebaik tiba di Adi Soemarmo Airport di Solo, kami terus di jemput oleh mereka; iaitu Anggit dan rakan bandnya Tumjung. Sebelum itu, semasa menjalani prosedur biasa kemasukan ke Negara baru, kami semua telah dikejutkan dengan keletah Muiz dan Yoe yang tidak mendapatkan borang VOA (visa on arrival) dan kastam semasa di dalam pesawat terbang.. terkadang rasa macam tak masuk akal macamana ‘form’ tersebut terlepas pandang dari mereka sedang pramugari yang cantik molek terkedek-kedek ke setiap tempat duduk penumpang mendistribusikan borang-borang tersebut. Jadi kami ketawa dan menakut-nakutkan mereka sebentar..haha.. Keluar dari lapangan atau bandara di dalam bahasa Indonesia, kami terus diterkam oleh mereka berdua dan setelah berkenal-kenalan kami terus di bawa menaiki van ke tempat makan untuk mengisi perut sebelum ke stesyen keretapi untuk bertolak ke Jogjakarta. Dan, sebelum ke stesyen tersebut mereka sempat membawa kami berputar-putar di sekitar Bandar Solo.

Setengah jam sebelum keretapi ke Jogja tiba, kami sudah sampai di Stasiun Solo Balapan. Setelah membeli tiket dan befoto-fotoan kami terus menaiki keretapi meninggalkan Anggit dan Tumjung..apa yang kami selalu bualkan sepanjang sekejap bersama mereka hanyalah kesukaan yang tidak habis-habisan pada akhirnya mengulang-ngulang perkataan ; bisa’…ular bisa!. Haha. Jadi sekarang kami sudah berada di dalam kereta api kelas ekonomi seperti yang dinyanyikan Marjinal. Kereta api penuh sesak dan aku serta Najid terpaksa berdiri bersesak-sesak juga. Setelah lebih kurang 1 jam perjalanan, maka sampailah kami di Stasiun Tugu, Jogjakarta, dekat dengan Pekan sibuk yang terkenal..Malioboro!

di ruang tamu rumah penginapan harum

Di sini, kami disambut oleh Indra Menus (To Die-YogyaHC), dan seorang teman wanita yang aku sudah lupa namanya..maklumlah nama-nama mereka agak unik dan susah lidah kami hendak menyebut.. dan kami berjalan kaki dari stesyen keretapi ke tempat penginapan kami di Malioboro. Malioboro memang terkenal sebagai kota pelancongan dengan barang-barang murah dan peniaga-peniaga tepi jalan yang begitu meriah…dan setelah lebih kurang 15 minit menapak (agaknya tak sampai atau mungkin lebih), kami sampai di tempat penginapan, Harum namanya..Dengan harga yang berpatutan, kami jadikan ia rumah sementara kami! Setelah melepaskan lelah dan menyimpan barang-barang yang berserabut..kami keluar untuk minum..kopi arang kata Indra! Biar betul, ini macam nujum pak belalang!

kopi arang, pisang aroma dll ( tengok tu betul2 arang)

Jadi, kami menapaklah lagi menyusuri peniaga-peniaga kecil Malioboro yang begitu sibuk menawar-nawarkan produk, juga yang bersibuk-sibuk mengajak kami ke gerai minum mereka sampailah kami ke tempat yang dimaksudkan untuk menikmati kopi..rupanya ia berhampiran dengan stesen kereta api. Jadinya ia ibarat berpatah balik dan kami menganggap ia adalah sebuah perjalanan menambahkan stamina hahaha. Jadi sekerang kami di venue menikmati kopi…yang betul-betul guna arang..kelat dan tawar rasanya, tetapi masih boleh dihirup oleh bibirku dan laju tengkuk menelan. Bermakna, ia kategori sedap [ kan siapa yang pernah membaca jurnal aku tetang makanan maklum kalau aku kata ok maknanya ia sedap :P]. Seingat aku, selain Indra sendiri, hanya aku dan Najid sahaja yang mencuba kopi tersebut sementara kawan-kawan yang lain memilih untuk minum air-air lain. Mat memilih es jeruk ( yang akhirnya menjadi air minuman utamanya dan ramai kawan-kawan akhirnya mengikut ;- sejenis minuman berais seperti air limau nipis; sort of lah!). Dan hidangan istimewa yang kami nikmati di sini ialah Pisang Aroma, yang ternyara memang beraroma dan menjadi kegilaan tengkuk teman-teman. Selepas itu kami pulang ke penginapan dan Indra serta kawan perempuan tadi memisahkan diri dari kami buat kami berehat sekadar mungkin.

makan2 bersama indra dan teman (yang di sebelah indra itu saya perkenalkan...MR Debab yang masih belum berpunya dan kuat sembahyang sunat )

Sekarang kami sedang berehat…mandi, solat dan ada yang sempat ronda. Agak selesa juga berada di rumah penginapan Harum ini. Nenek tua empunya rumah, malah menyediakan air mineral sejuk beserta gelas untuk jamuan. Kalau dinihari, sering sahaja aku melihat nenek itu berbalas-balas mesej sambil menyapu perkarangan rumah dan di dalam rumah.. mungkin mesej pakwe agaknya. Debab dengan selamba roknya memanggil nenek itu dengan panggilan neng.. neng itu maksudnya ‘miss’..apalah Debab! Aku lebih selesa memanggilnya ibu..dengan sedikit lorat Indonesia ibu’. Pukul 8 malam, Indra dengan termengah-mengahnya sampai ke penginapan.. katanya ada show di Taman Budaya Yogyakarta, berhampiran dengan Pasar Buku Shopping Center. Agak aku dia akan membawa kami ke toko-toko buku tersebut [kerana pada siangnya tak sudah-sudah aku mengulang untuk mencari buku-buku] dan selepas itu ke show..tapi meleset. Kami naik bas, dan kami turun dan kami hanya melewati sahaja pasar buku yang separuh tutup itu lantas terus ke show. ..nah!,katanya seorang teman dari Resist Book pun ingin berjumpa aku di sana. Oh! ini adalah free show.. yang bertiket! Pelik kan?

Menurut penyampai, show tersebut adalah bertujuan berkongsi budaya muzik Australia dengan Indonesia.. wah! Layan.. persembahan pertama adalah persembahan solo dengan customize keyboard yang telah diprogramkan dengan macam2 bunyi…layan, dan layan dan akhirnya semua layan zzzz…penat.. Bila persembahan kedua yang menggabungkan element dram dan gitar yang noise, aku tengok hanya Yoe sahaja yang bersungguh-sungguh melayan sedang yang lain asyik layan tidur.. Memang energetic, tetapi bagi aku agak lame.. jemu… mungkin sebab aku juga keletihan ditambah dengan ‘frust’ tak dapat ke pasar buku.. selesai je persembahan kedua aku keluar bersama-sama dengan Najid.. Bila tengok je aku keluar, sederetan kawan2 yang bersama dari Malaysia pun keluar..lepas tu seorang..dan seorang lagi..lepas tu semua pakat keluar. Aku tak tahu samaada persembahan ketiga ‘on’ atau tak..rasanya tak sebab semua orang pakat keluar. Teman dari Resist yang kononnya ingin berjumpa dengan aku pun tak muncul-muncul.. dan kami menapak sesambil mencari tempat makan buat bekal perut supaya tidak berbunyi semasa dibuai mimpi.

Najid masih segar sebelum show

Selesai makan, kami terus ke penginapan.. semuanya menapak… bak kata AR Tompel, “mm..lebih baik jalan kaki..dah tentu penat!”. Yoe, macam biasa.. sampai lepak jap terus zzzz.. aku, Muiz, dan Mat bersembang-sembang sambil praktis ala kadar kat atas katil dengan Najid yang menjadi penunggu setia…maklumlah kami x sempat praktis langsung pun dekat Malaysia sebab masing-masing berdiam di tempat yang jauh-jauh; melata!. Dan tidaklah mudah untuk kami berjumpa dan berkumpul.

Pagi itu kami bergerak seawal mungkin, membeli belah dan ke pasar buku tanpa bantuan Indra. Saja aku suruh indra berehat-rehat dulu di rumah, walaupun rencananya indra akan berkunjung ke tempat penginapan kami pada jam 10. Kesian juga kat dia melayan kerenah kami, so kami ikut kaki sendiri je. Lebih kurang sepuluh kilo jugak kot buku yang aku borong..dan Najid pulak hampir sekodi memborong kain batik sarung. Ada pulak makcik jual batik tu cakap bahasa jawa ngan aku dan suruh aku translate kat Najid, apa ingat aku orang jowo ke? At last aku cakap jugak kat makcik tu, aku pun orang Malaysia..hah!


bersambung daa....

Monday, February 14, 2011

-

lama...
memang..
macam pekasam...
lebih buruk, tak terjengukkan...ha dan ha