Friday, October 12, 2012

AL ArRuZza

1. Musim Tengkujuh dah mula menampakkan tanda. Orang Terengganu memanggil musim sebagai piyang (pian), orang Kelantan pula memanggilnya sebagai puye. Untuk musim tengkujuh secara khususnya, kami memanggilnya sebagai 'piyang boh'. 'Boh' merujuk kepada perkataan 'bah' yang bermaksud 'banjir'. Samaada terjadinya banjir antau tidak, musim ini memang dikenali sebagai 'piyang boh'. Aku agak generasi kini sudah tidak memanggilnya begitu, mereka lebih mengerti musim tengkujuh daripada piyang boh. Generasi sebelumnya juga (generasi aku dan ke atas) sudah mula meninggalkan frasa tradisional tersebut dan lebih selesa menggunakan perkataan-perkataan standard Bahasa Melayu.. sesetengahnya memang tak pernah guna sejak mula lagi walaupun tahu 'piyang boh' adalah musim banjir.

2. Ada beberapa perkara yang sinonim dengan piyang boh untuk orang-orang kampung seperti aku. Tahan Taut, cokoh, dan main perahu adalah contoh beberapa perkara tersebut. Selain itu, yang lebih utamanya sebagai orang kampung, kebanyakkan kami menanam padi pada musim tengkujuh. Pertanian sekali setahun ini terpaksa dijalankan pada musim tengkujuh kerana mengharapkan sumber air daripada hujan semata-mata untuk tujuan pengairan tanaman. Kami tidak mempunyai sistem pengairan penyaliran air seperti yang ada di Kedah atau di Besut Terengganu, justeru itu pada 'piyang boh' inilah kami mula bekerja. Lagi pula, orang-orang lelaki dewasa sudah tidak boleh ke laut untuk menangkap ikan, kerana keadaan cuaca dan gelombang yang membahayakan nyawa. Jadi mereka akan mula bergabung bersama ahli keluarga yang lain dan menumpukan untuk penanaman padi buat sementara waktu.

gelung

3. Kawasan penanaman padi yang kebiasaannya dan dikenali umum sebagai sawah kami panggil gelung/relung. Di Kedah juga, orang-orang tua depa panggil relung. Ini aku dapat tahu dari seorang Cina tua di Kampung Kuala Alor (Kola Aloq) semasa aku menjalani latihan amali mengajar di  sana pada bebebeberapa tahun yang sudah. Generasi muda Kedah kurang mengerti perkataan tersebut. Mereka selesa memanggilnya sebagai sawah. Aku rasa, sama halnya dengan generasi muda Terengganu. Mereka selesa memanggilnya sebagai sawah. Di antara batas-batas gelung pula, biasanya kami buat 'lileh' untuk mengalirkan dan menyekat air keluar. Jika taburan air banyak, kami akan membuka lilih tersebut supaya air keluar dan menutupnya kembali mengikut kadar keperluan air yang diperlukan untuk penanaman padi.

4. Ada beberapa perkataan yang berkaitan dengan penanaman padi yang aku rasa orang-orang Terengganu sendiri kurang 'familiar' dengannya terutama bagi generasi-generasi muda kini. Apa lagi anak-anak kecil yang celik mata, sudah tidak nampak pohon padi di depan mata. Antara perkataan tersebut adalah;

a) 'Sema' (semai) : adalah anak pohon padi yang keluar hasil daripada benih yang ditabur
b) 'uting'             :  adalah seberkas sema / atau pohon padi
c) 'ceddong'        : adalah proses menanam padi daripada sema-sema yang sudah berpotensi untuk hidup
e) 'mmukkul'      : adalah proses menceraikan padi dari pohon-pohonnya
f) 'ngettang'        : Juga adalah proses menceraikan padi dari pohon-pohonnya dengan teknik yang berbeza dari 'mmukkul'
g) 'irik'                : proses menceraikan padi dari tangkai selepas proses 'ngettang'
h) 'baloh'             : tempat menyimpan padi

5. Kini penanaman padi sudah tidak diamalkan lagi di kampungku walaupun piyang boh tetap hadir dari setahun ke setahun. Amalan menanam padi ini juga sudah tidak diamalkan juga dikampung-kampung lain di dalam negeri ini kecuali di beberapa kawasan di Besut. Adalah dapat difahami kenapa di Besut amalan menanam padi ini masih diteruskan ialah kerana ia mempunyai sistem pengairan yang berterusan tanpa mengharapkan curahan air hujan. Dari penglihatan mata aku, amalan penanaman padi di Besut kini tidak mengamalkan kaedah 'ceddong'. Hal ini samalah seperti yang diamalkan di negeri-negeri jelapang padi seperti di Kedah dan Perlis. Depa main tabur sebab depa ada mesin.

6. Apa hal pulak tetiba cerita pasal padi ni? agaknya nak marah ke Mahathir kot sebab tukar negara pertanian kepada perindustrian...hahhahaha. Nak makan besi, gigi tak lut... nak beli kete, duit tak cukup.. semua dah jadi mahal. Berak kat rumah pun pakai ongkos!!!

7. Erk.. Najib jumpa Uncle $ buat apa? jengjengjeng

"Dan tidak ada suatu binatang melata (makhlik Allah yang bernyawa) pun di bumi melainkan Allahlah yang memberi rezekinya, dan Dia Mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya. Semuanya tertulis di dalam Kita yang nyata (Luh Mahfuzh)". - Huud 11: 06

No comments:

Post a Comment