Dulu, di sekolah lama (sekolah yang aku tinggalkan berakhir 2010), aku pernah membantah dengan keras, bayaran sebanyak RM 20 yang dikenakan kepada setiap seorang murid yang ingin menyertai perkhemahan tahunan. Dengan alasan duit itu akan digunakan bagi membiayai kos pengangkutan [ya, aku akui kos pengangkutan agak mahal kerana pihak sekolah terpaksa menyewa bas bagi mengangkut para pelajar ke tapak perkhemahan yang jauh], dan makan minum murid. Jumlah murid yang menyertai perkhemahan tersebut menjangkau 80 orang dan jika didarab 20 sudah mencapai RM 1060. Sedang peruntukan sedia ada adalah RM 2000 dan jika ditambah jumlahnya adalah RM 3060. Kos menyewa tapak perkhemahan adalah RM 2 perkepala setiap seorang. Tetapi, setelah budi bicara aku dan 2 orang lagi guru termasuk Penolong Kanan Ko dengan pemilik tapak perkhemahan kami hanya membayar untuk 50 orang sahaja, di kali dengan 2 hari. Bermakna sewa tapak yang perlu dibayar adalah RM 100 sahaja, walaupun sebenarnya perkhemahan tersebut memakan masa 3 hari 2 malam. Dan kami menyewa dua buah asrama yang besar bagi keperluan guru lelaki dan perempuan untuk mandi-manda, bertukar pakaian dan sekaligus menjadikannya tempat tidur dan istirehat dengan hanya membayar RM 60. Jumlah tempat penginapan adalah RM 160, murahkan? Setelah diselidiki, kos pengangkutan hanya menelan belanja lebih kurang RM 500 menurut seorang rakan yang ditugaskan untuk urusan bas ini. Bayangkan ada lebih daripada RM 2000 lagi…dan menurut perkiraan mereka semuanya di belanjakan untuk makan minum dan peralatan memasak.
Belanja makan perkhemahan macam belanja buat kenduri kawin je aku rasa.. Wah, betul-betul sakan! Ini perkhemahan ke apa ni? Walaupun aku memang cukup tidak berpuashati dengan mutu murid yang memang tak boleh memasak, hatta untuk memasak cokodok tawar, tapi aku cukup tak berpuashati dengan lauk pauk ala hotel yang dimasak oleh guru-guru! Bukan kerana tak sedap, tapi kerana berbelanja! Sedang, bagi aku ianya boleh sangat dijimatkan dan jika di uruskan dengan betul, murid tidak perlu membayar sampai RM20. Walhasilnya, bila aku fikir-fikir, makan-makan dan minum-minum itu sebenarnya tidak lain daripada bagi memenuhi selera gurulah adanya.
Ini bukanlah cerita rekaan, tetapi inilah yang terjadi dan aku adalah antara Ahli Jawatan Kuasa Induk yang menguruskan perkhemahan tersebut dan sama-sama bermesyuarat dan merancang awal sebelum mesyuarat menyeluruh diadakan. Tapi apalah daya hanya aku seorang yang tidak bersetuju dengan bayaran tersebut dengan alasan ianya memadai.. Aku pernah mengatakan kepada sekalian guru semasa mesyuarat awal bahawa mereka tidak boleh menyamakan taraf sosio ekonomi mereka dengan taraf ekonomi bapak-bapak murid. Kalau seorang guru, RM 20 lebih daripada memadai, tetapi apalah daya bagi seorang pekerja kampong yang memanjat kelapa, mengambil upah menjaga kebun, atau yang mencari sumber hutan untuk membiayai 3 orang anak yang akan mengikuti perkhemahan yang berada dalam darjah 4, 5 dan 6. Mereka terpaksa membayar RM 60! Kalau pandai berjimat RM 60 boleh dibuat belanja makan seminggu untuk ahli keluarga mereka yang 7- 10 orang itu. Tapi debatan aku itu tidak juga di terima dan mereka beralasan lagi bahawa sekolah-sekolah lain juga mengenakan bayaran yang lebih kurang sedemikian..malah ada yang lebih mahal! Walaupun aku juga mempersoalkan persekitaran sekolah, lain kampong, lain taraf ekonominya.. Aku bercakap semua ini sebab aku bertanggungjawab mengisi e-kasih (data sosio ekonomi keluarga) dan aku pernah menghantar beberapa orang muridku ke rumah masing-masing yang kebanyakkannya terlibat dengan sukan yang aku bawa ke sana kemari. Dan rata-rata antara mereka yang aku temui, bukanlah berada orangnya dan ada juga yang hidup mereka cuma-Cuma. Tapi adalah pulak seorang penduduk kampong pesara tentera [yang masih muda dalam lingkungan pertengahan 40an] yang beristerikan seorang ‘nurse’ hospital kerajaan yang menengking-nengking memaki orang kampong yang kononnya lebih sayangkan duit dari kegembiraan anak bila ada orang kampong mengeluh untuk mengembirakan anak mereka dengan membayar dan menyertai perkhemahan..Ceh!
Sekarang aku lagi bingung, usul duit kembali timbul di dalam program aku sendiri. Sebelumnya, apabila orang atas (tebaklah siapa yang tertinggi dalam sebuah sekolah) mengusulkan untuk mengutip sumbangan dari wang elaun murid, aku dan penyelaras program sudah mula betah-membetah sesame kami..sesama sendiri. Dan aku orang yang mula-mula tidak mahu bertanggung jawab dan ikut campur..dan setelah itu penyelarasku pula. Tetapi baru-baru ini terjadi juga! Dalam mesyuarat bersama Kelab Sokongan, orang atas mengusulkan… dan diterima pula oleh Pengerusi kelab.. Aku memandang ke beberapa wajah yang sudah aku kenal pasti..dan ada wajah kelat diantara mereka tapi terpaksa dianggukkan setuju. Aku pasti benar sebab ada antara ibu bapa tersebut yang turut memindahkan anak mereka yang sewaktu dulu bersamaku di sekolah lama ikut bersama perpindahan ku ke sekolah baru. Dan aku telah mengenal pasti muka-muka baru yang mengalami nasib sedemikian yang berasal dari sekolah ini pula. Tapi mereka semua setuju. Untuk membayar RM 150 setahun.
Bukan kami (baca: aku dan penyelaras program) tidak pernah mengutip sumbangan murid, tapi bila ada sesuatu program yang kami rancang, barulah kami pinta dalam skala yang sangat kecil ditambah dengan duit poket kami sendiri..sudah tentunya minyak kereta kami yang sering tak terbayar!... dan pintaan berkali-kali murid sendiri “ Cikgu, belanjalah cikgu, belanjalah!” kahkahkahkah. Antara kami berdua, penyelaraslah yang paling banyak mengeluarkan sendiri duit poketnya.. untuk pembangunan kelas dan program kami juga, banyak sekali dia menyumbang wang, sedang aku lebih banyak menyumbang kerja-kerja buruh. Dan sekarang, aku jadi pusing dengan tindakan ini walhal sebenarnya, kalau difikirkan ia adalah kelebihan untuk kami lagi melakukan aktiviti yang pelbagai.. Dan selepas cuti seminggu ini kami (baca: kami dan murid2 program) akan ke terapi boling dan terapi air, dan selepas itu ke hutan dan ke sana dan ke sinun, semuanya tanpa RM 150 yang kami telah rancang awal-awal lagi.. dan kebanyakannya lebih dari mulut dari yang benar-benar terjadi. Tetapi yang sudah terjadi betul, tidaklah kepalang juga banyaknya…
Sebelum aku tutup dengan tulisan meleret-leret aku ni yang aku sendiri naik jelak, ada dua buah buku yang aku ingin kongsi, yang pertama ini seperti di atas; Harimau! Harimau! yang aku bawa balik dari Indonesia, setelah letih aku mengeyitkan mata dan mengucapkan I love u kepada nona manis empunya (atau mungkin anaknya empunya) took buku tersebut supaya menjualnya. Buku ini seperti yang sedari nampak dipandangan mata; ditulis oleh Muchtar Lubis. Sesiapa yang meminati sastera, pasti merasa tidak asing dengan penulis tanah seberang ini. Aku pun agak heran, kenapa orang-orang yang pernah dipenjarakan selalu sahaja dekat dengan hati aku. Katanya buku ini pernah mendapat Hadiah Yayasan Buku Utama sebagai buku penulisan terbaik di tahun 1975, di Indonesia. Buku ini mengisahkan 7 orang pengumpul dammar yang diburu oleh seekor harimau tua yang kelaparan. Berhari-hari mereka mencuba untuk menyelamatkan diri mereka dari menjadi mangsa buruan dan cepat-cepat keluar dari hutan raya tempat mereka mencari damar. Seorang demi seorang akhirnya terkorban menjadi mangsa harimau tersebut.
Di satu sudut yang lain pula, terjadi petualangan dalam diri masing-masing. Di bawah ancaman di baham harimau yang tak sudah-sudah memburu mereka, mereka bergulat dengan diri mereka sendiri, yang mengangkat kesedaran mereka tentang kekuatan dan kelemahan diri masing-masing dan setiap ahli pendamar yang lain. Terjadi konflik baca membaca fikiran satu sama lain, bacaan gerak dan sebagainya. Sampai separuh rakan-rakan pendamar mati, ada antara mereka merumuskan untuk memburu dari diburu sedang mereka sebenarnya tidak pula perasan bahawa dikala dia memburu harimau ia telah di buru balas oleh raja rimba tersebut… sampai pada satu tingkat kesedaran akhirnya, mereka memutuskan untuk membunuh harimau yang ada pada diri mereka sendiri dahulu sebelum membunuh harimau nyata di rimba..aku rasa macam dah berbelit-belit pulak aku tulis. Berbelit tulisan aku begitulah agaknya berbelit-belit jiwa-jiwa manusia yang hidup dalam watak-watak dalam novel tersebut… Kalau berani, pergilah memburu buku ini di Indonesia, atau datanglah selongkar perpustakaan serabut di rumahku dan aku bidik tepat ke kepala..Berani? Aku baca buku ini dari siang sampai hampir 2 pagi..bermakna ia agak menarik bukan?
Buku ini pula (di atas), adalah buku terjemahan novel The Yacoubian Building karya Alaa Al Aswany. Aku sebenarnya tidak pernah mengenal langsung penulis ini sebelum ini, tapi ia berjaya mencuri hatiku untuk membeli dan membacanya. Aku pun tak ingat bilakah tarikhnya aku beli ia. Yang pasti, sudah agak lama, dan begitu jugalah buku ini telah aku habisi pun sudah agak lama…tapi aku rasa saying karya sebegini kalau aku tidak berkongsi. Bila baca buku ini, aku selalu teringat dan sering juga cuba membanding –bezakan antara buku ini dengan buku ‘Midaq Valley [Lorong Midaq], karya penulis agung yang pernah memenangi Hadiah Nobel, iaitu Naquib Mahfouz.. dan kedua-duanya adalah dari Mesir. Dan memang aku rasa aku banyak berjumpa kesamaanya, terutama dari latar ceritanya..
Buku ini memaparkan ragam hidup golongan bawahan dan mewah di Kota Kaherah dan identity mereka yang sebenar; antara kejujuran dan persahabatan, hasad dengki, kepura-puraan, tamak, rasuah, cinta, seks, agama dan perjuangan; kesemuanya diadun sebegitu lumat dan dizahirkan melalui watak-watak yang berbeza, yang semuanya ada hubung kait sedikit sebanyak.. Dan kesemua mereka pula ada kena mengena dengan Bangunan Yaacobian, sama ada ianya menjadi tempat tinggal, tempat yang mereka berasal dan tempat yang mereka bekerja dan singgah.
Mereka adalah ahli politik yang rasuah, aristocrat yang suka perpelisiran, homoseksual, ahli perniagaan yang tamak, pejuang agama yang oportunis, malah golongan bawahan dengan segala intrignya. Kisahnya dikembang-kembang menjadi luas dan dihimpit-himpit menjadi sempit;khusus. Kisah percintaan yang buta dan tuli, dan mulus dan mekar.. Asyik sekali aku membaca buku ini. Buku ini aku beli dari KedaiHitamPutih.. cuba tanya jika masih ada stok. Dan mungkin buku ini juga ada di kedai-kedai lain pun, cuba jangan malas mencari jika berminat..sekarang kan zaman IT, Tak mungkin suara Siti Nurhaliza tidak sampai ke corong-corong radio di rumah masing-masing..hah!
untuk program perkhemahan 2hari 1mlm bagi pengawas, Pengawas Pusat Sumber dan Ketua Darjah di sekolah anak akak, hari ni akak kena bayar RM50/-
ReplyDeleteHmmm....bayar ajelah. :(
kak aishah:
ReplyDelete:) haha